Tuesday 14 June 2011

5 Tips Utk Pemakanan Seimbang

5 Tips untuk kembali BERTENAGA

oleh: trymasak | tagged: , | komen: 1

Selalu berasa letih? Pertambahan umur selalunya akan membuatkan diri lebih cepat berasa penat dan tidak bertenaga. Namun, masih ada cara untuk mengembalikan tenaga yang kian surut hanya melalui beberapa tips pemakanan. Antara yang boleh dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Sarapan

 

Antara sebab mengapa kita mudah berasa letih dan tidak bertenaga adalah kerana amalan pemakanan yang tidak baik. Salah satu sebabnya dengan meninggalkan rutin sarapan pagi. Sarapan pagi amat penting untuk memberi bekalan tenaga yang mencukupi untuk sepanjang hari.

Menu yang dicadangkan adalah seperti telur separuh masak, roti bakar, jus oren dan buah-buahan segar. Ketiga-tiga menu tersebut mengandungi protein dan karbohidrat yang membekalkan gula dalam tubuh. Protein mampu bertindak sebagai sumber tenaga yang berpanjangan dan mengawal kadar gula dalam sistem koordinasi tubuh badan. Manakala, buah-buahan pula membekalkan antibodi untuk melindungi tubuh daripada penyakit.

2. Pemakanan seimbang


Diet yang ketat akan membuatkan tubuh kehilangan banyak zat yang diperlukan untuk membekalkan tenaga. Masih ramai yang tidak memahami konsep diet yang sebenar. Diet bukan menahan diri dari makan dan berlapar sepanjang hari sebaliknya bermaksud mengambil makanan seimbang setiap hari agar dapat meningkatkan tahap metabolisme dalam badan. Sebaiknya ambil makanan mengikut piramid makanan yang telah disarankan.

Menu berikut mungkin boleh dijadikan panduan:

Sarapan:
Sebiji telur rebus, sekeping roti bakar. Kedua makanan ini mengandungi 2mg zat besi. Ambil menu ini dengan jus oren yang mengandungi vitamin C sebagai pelengkap kerana ia dapat membantu penyerapan zat besi dalam tubuh.

Tengahhari:
Sardin, sedikit sayuran seperti bayam dan tomato dimakan bersama dengan roti bakar.

Petang:
Buah apricot yang telah dikeringkan dalam pek yang kecil.

Malam:
Stik yang dipanggang dan juga brokoli.

3. Minum air yang mencukupi

 

Hampir 90 peratus daripada kita kekurangan air dan masalah ini akan menyebabkan tubuh berasa letih selain menjadi punca sakit kepala, masalah pencernaan dan juga kestabilan emosi. Amalkan minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari kerana ia juga mampu meningkatkan daya tumpuan dan pemahaman.

4. Ambil lebih banyak folat

 

Makanan yang mengandungi folat adalah seperti sayuran hijau kekacang, bijirin dan jus oren. Ia membantu membekalkan tenaga dan hasilnya emosi akan menjadi lebih ceria dan cergas sepanjang hari. Jika kekurangan folat dalam tubuh, kehidupan akan lebih murung dan tidak bermaya. Pakar pemakanan percaya bahawa nutrien mampu mempengaruhi kestabilan emosi. Malah makanan yang mengandungi folat juga baik untuk mereka yang berdiet.

5. Snek

 
Makanan ruji boleh digantikan dengan snek ringan yang mempunyai kandungan zat yang hampir sama seperti roti, kacang atau apa juga makanan yang diambil antara waktu makan. Selain itu, juga boleh mengambil salad buah-buahan bersama yogurt, bijirin dan oats yang dimakan bersama pisang ataupun sekadar biskut. Fungsinya tetap sama iaitu membekalkan tenaga dalam tubuh di samping mengawal kandungan gula dalam darah.

Selain menjaga pemakanan, seelokknya lakukan senaman secara rutin kerana ia akan membantu mengekalkan stamina dan membuat tubuh lebih cergas setiap hari.

No comments:

Post a Comment